MENU

Jenis-Jenis Tarian Tradisional di Malaysia
 

1. Tarian Zapin
Tarian Zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian Zapin ini dipercayai berasal dari Tanah Arab yang gerakannya adalah cepat dan tidak banyak gerakan bunga tarinya. Tarian ini popular pada tahun lima puluhan (50an) dan enam puluhan (60an).

2. Tarian Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang amat popular di Negeri Johor terutama di kalangan masyarakat Jawa. Tarian ini berunsur pemujaan kerana para penari boleh tidak sedarkan diri. Penari menggunakan kuda kepang yang diperbuat daripada buluh yang dianyam. Kuda kepang tidak berkaki hanya mempunyai badan, kepala dan ekor sahaja. Kumpulan kuda kepang mengandungi antara 15 hingga 20 pemain termasuk pemuzik. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gong, gamelan, rebana, gendang dan bonang.

3. Mak Yong
Makyong merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

4. Dikir Barat
Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan.

5. Tarian Sumazau
Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyembah semangat, dan mengubati penyakit. Irama Sumazau adalah perlahan. Alat-alat pengiring tarian adalah set gong dan gendang. Pasangan penari berhadapan dan menggerak-gerakkan kaki berlangkah kecil, sementara tumit kaki diangkat-turunkan mengikut irama. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa hari keramaian majlis jamuan Pesta Kaamatan.

6. Tarian Barongan
Tarian Barongan yang berbentuk drama tari ini popular di Selatan Semenanjung Malaysia iaitu Negeri Johor terutamanya di daerah Batu Pahat. Ia sangat terkenal di kalangan masyarakat Jawa. Menurut sejarah, tarian ini menceritakan tentang kisah di zaman Nabi Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Barongan berunsur pemujaan. Tarian Barongan terbahagi kepada dua bahagian iaitu barongan dan putera raja serta pelawak dan putera raja. Penari yang memegang watak barongan akan memakai topeng harimau. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gong, gendang dan angklong.