MENU

TEKS UCAPAN PERUTUSAN TAHUN BARU
DATUK BANDAR ALOR SETAR
MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR

 

Assalamualaikum w.b.t

Salam Sejahtera, Salam Muafakat Kedah dan Salam Muafakat Bandaraya.

Bersempena dengan pengakhiran Tahun 2016 ini serta bagi menyambut ketibaan Tahun 2017, ingin saya coretkan secebis ucapan dan kata-kata kepada seluruh warga Bandaraya Alor Setar yang telah banyak memberi kerjasama dalam aktiviti dan program anjuran MBAS.

Tahun 2016 menyaksikan munculnya beberapa peristiwa dan pelbagai pencapaian yang berjaya dikecapi MBAS. Antaranya iaitu kejayaan penganjuran Konferen Kebangsaan Amalan Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2016 secara bekerjasama dengan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) yang menghimpunkan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar Negara. MBAS juga telah dinobatkan sebagai Juara Kawad Perbarisan Hari Kemerdekaan kali ke-59 Peringkat Negeri Kedah. Sebagai pendekatan baru dalam mendekatkan lagi perkhidmatan di hati rakyat, MBAS telah menganjurkan Sesi Townhall yang telah berjaya dianjurkan sebanyak 2 kali bagi Tahun 2016 dan akan diperbanyakkan lagi di tahun-tahun akan datang.

 

Infrastruktur dan kemudahan perkhidmatan lain kepada warga Bandaraya Alor Setar sentiasa ditikberatkan. Sebanyak RM 14,679,054.36 peruntukkan dibelanjakan MBAS sepanjang Tahun 2016. Sebanyak RM160,000.00 dibelanjakan bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, RM5,770,658.90 peruntukan di bawah MARRIS serta RM1,685,854.11 peruntukan untuk kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan jalan perbandaran. Bagi memudahkan lagi MBAS menjalankan aktiviti-aktiviti sebegini, adalah diseru untuk semua warga Bandaraya untuk menjelaskan cukai sekiranya masih ada yang tertunggak demi penyaluran perkhidmatan kembali kepada semua.

 

Pelan Transformasi MBAS; MBAS Di Hati Rakyat yang dibentuk di peringkat MBAS ini dapat dijadikan panduan dalam meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat Bandaraya Alor Setar. Adalah diharapkan kita sama-sama dapat bergerak dalam Muafakat Kedah di mana kita dapat bergerak dalam suatu pasukan yang mempunyai Empat Mufakat iaitu Muafakat Sosial dan Kemasyarakatan, Muafakat Ekonomi, Muafakat Pentadbiran dan Muafakat Politik.

 

Matlamat kita bagi Tahun 2017 ini adalah bagi menjayakan harapan menjadikan Bandaraya Alor Setar sebuah Bandaraya Warisan Dalam Taman di mana dapat meningkatkan tarikan pelancongan dalam masa yang sama mengekalkan warisan sedia ada. MBAS akan sentiasa berusaha untuk mencapainya dengan sedaya upaya sejajar dengan Visi MBAS ‘Menjadi Bandaraya Metropolis Melalui Transformasi Bersepadu’.

 

Sama-sama kita menjaga, memelihara keindahan dan kebersihan Bandaraya Alor Setar supaya hidup lebih sejahtera dan damai.
Sekiranya kita dapat bersatu padu dan memberikan kerjasama, maka saya percaya, Tahun 2017 akan datang boleh menjadi tahun untuk kita sama-sama bergerak ke hadapan untuk mencapai apa yang diidamkan itu. Inshaa-Allah.

Akhir sekali, saya mengucapkan kepada semua warga Bandaraya "Selamat Menyambut Tahun Baharu yang lebih dinamik dan progesif berpandukan Empat Muafakat yang dinyatakan tadi kearah menjadikan Bandaraya Alor Setar sebuah Bandaraya Warisan Dalam Taman".

“ Semoga Allah Merahmati dan Memberkati Kita Semua ‘’