MENU

Alor Setar atau juga dikenali sebagai Alor Star pada 2004-2008, ialah ibu negeri Kedah, Malaysia; bandar terbesar di negeri Kedah; bandar penting dalam pantai barat Semenanjung Malaysia. Bandar ini menempatkan Pusat Pentadbiran Daerah Kota Setar iaitu di Bandar Muadzam Shah dan bandar diraja Kedah iaitu Bandar Anak Bukit

Alor Setar terletak 93 kilometer utara Butterworth, Pulau Pinang dan 45 km dari selatan sempadan Thailand. Bandar Alor Setar ini ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar. Sebagai pusat pengangkutan di kawasan utara Semenanjung Malaysia, kawasan Alor Setar ini yang meliputi tanah seluas 666 km2 (persegi) diduduki oleh lebih daripada 300,000 ribu penduduk mengikut banci tahun 2010 yang merupakan salah satu bandar tertua di kawasan itu.

Alor Setar yang juga merupakan bandar penting negeri Kedah adalah diantara daripada bandar utama di Kedah selain daripada Bandar Sungai Petani, Bandar Kulim dan Bandar Langkawi. Bandar-bandar ini juga membangun seiring dengan pembangunan yang ada di Alor Setar.
Alor Setar dihubungkan dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dengan sebuah lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim yang baru siap dibina pada 2006 yang hanya berkhidmat untuk penerbangan domestik tetapi turut menyediakan penerbangan antarabangsa hanya untuk jemaah haji, melalui Lebuhraya Utara-Selatan iaitu keluar masuk menerusi plaza tol Alor Setar Utara, plaza tol Alor Setar Selatan dan plaza tol Alor Setar Hutan Kampong, stesen kereta api di Pusat Bandaraya Alor Setar, stesen bas Shahab Perdana serta pengangkutan keluar dari tanah besar ke pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah.

Alor Setar merupakan tempat kelahiran YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ramai juga selebriti Malaysia berasal dari sini.